Sistem yang telah dibangunkan Kereta_api_Maglev

JR-Maglev MLX01

Pada dekad 1960-an, Britain mengepalai dalam kajian dan pembangunan teknologi maglev.[3] Seorang profesor kejuruteraan elektrik tinggi di Imperial College telah berjaya membangunkan kenderaan penumpang maglev. Ciptaannya ini memiliki berat sebanyak 1 tan dan boleh membawa sehingga empat penumpang.[3] Dana tambahan bagi kajiannya diberikan oleh British Rail, Suruhanjaya Pengangkutan Britain, Universiti Manchester, Universiti Surrey dan Yayasan Wolfson.[3] Kenderaan ini bergerak di atas landasan sejauh 1.6 km dan berjaya diuji sepenuhnya. Malangnya, kajian itu dihentikan pada tahun 1973 akibat kekurangan dana dan juga kerana kemajuannya tidak seberapa. British Rail kemudiannya menubuhkan Pusat Kajian Maglev di Pusat Teknikal Kereta api miliknya yang berpusat di Derby.

Pada 1970-an, Jerman dan Jepun pula memulakan kajian mereka dan selepas beberapa kegagalan, kedua-dua negara ini berjaya membangunkan teknologi yang matang pada dekad 1990-an.

Upton, New York 1968

Pada tahun 1961, seorang pengkaji di Makmal Kebangsaan Brookhaven bernama James Powell, telah memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah lalulintas dengan pengangkutan yang diapungkan oleh magnet. Beliau bersama-sama rakan sekerjanya Gordon Danby membangunkan satu konsep maglev menggunakan magnet pegun yang dipasangkan pada kenderaan bergerak untuk menghasilkan daya mengangkat elektrodinamik dan juga daya menstabil pada gelung yang dibentuk khas di atas sebuah laluan. Kedua-dua pengkaji ini memperoleh sebuah paten bagi teknologi ini pada tahun 1968.[4]

Birmingham 1984–1995

Sistem automasi komersil pertama di dunia adalah maglev ulang-alik berkelajuan rendah yang telah menghubungkan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Birmingham di Britain ke Stesen Kereta api Antarabangsa Birmingham dari tahun 1984-1995. Jarak perjalanan adalah sejauh 600 m dan keretapi tersebut telah "terbang" pada ketinggian 15 mm dari paras landasan. Perkhidmatan ini telah berfungsi selama hampir sebelas tahun, namun begitu masalah pada sistem elektroniknya menyebabkan teknologi ini tidak dapat diteruskan. Sistem ini telah digantikan dengan teknologi kabel.

Berlin 1989–1991

Rencana utama: M-Bahn

Di Berlin Barat, M-Bahn telah dibina pada penghujung tahun 1980an. Ia merupakan sistem maglev tanpa pemandu dengan jarak sejauh 1.6 km menghubungkan tiga stesen. Ujian percubaan menggunakan penumpang telah bermula pada bulan Ogos 1989. Sistem ini mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Julai 1991. Walaupun laluan ini telah diteruskan dengan beberapa perubahan yang baru, perubahan ini hanya sehingga ke stesen U-Bahn, Platform-Segitiga (Gleisdreieck) dan perkhidmatan ini menggunakan platform yang sudah tidak dipakai. Ia merupakan laluan yang menghubungkan perhentian tersebut dengan Berlin Timur. Selepas robohnya Tembok Berlin, perancangan telah dibuat untuk menghubungkan semula laluan tersebut (kini laluan U2). Pembangunan semula laluan M-Bahn telah dimulakan selepas dua bulan perkhidmatan harian bermula dan telah disiapkan pada Februari 1992.

Emsland, Jerman

Rencana utama: Transrapid

Transrapid International, sebuah syarikat maglev dari Jerman, memiliki sebuah landasan berukuran 31.5 km di Emsland. Laluan tunggal ini melalui dua bandar, iaitu Doerpen dan Lathern, dilengkapi dengan laluan untuk berpusing di kedua-dua hujungnya. Kereta api jenis ini kebiasaannya bergerak sehingga 420 km/j. Pembinaan landasan ujian ini bermula pada tahun 1980 dan berakhir pada 1984.

JR-Maglev

Rencana utama: JR-Maglev

Syarikat Kereta api Jepun mempunyai landasan ujian yang terletak di Yamanashi. Di sini, kereta api ujian buatannya JR-Maglev MLX01 telah berjaya mencecah kelajuan 581 km/j (361 bsj), lebih laju berbanding kereta api beroda. Kereta api sebegini menggunakan magnet superpengalir, untuk membolehkan ruang apungan yang lebih besar, dan apungan elektrodinamik (EDS) jenis penolakan. Hal ini berbeza dengan teknologi Transrapid yang menggunakan elektromagnet biasa manakala sistem apungannya ialah elektrodinamik jenis penarikan. Shinkansen Maglev Superpengalir yang telah dibangunkan oleh Central Japan Railway Co. (atau ringkasnya JR Central) dan Kawasaki Heavy Industries pada masa ini adalah kereta api terpantas di dunia dengan mencapai rekod halaju di atas tanah setinggi 581 km/j pada 2 Disember 2003.

Linimo

Keretapi Linimo menghampiri Banpaku Kinen Koen, ke arah stesen Fujigaoka
Rencana utama: Linimo

Sistem Maglev dalam bandar yang pertama di dunia menggunakan kawalan automatik telah beroperasi di Jepun pada Mac 2005. Ini melibatkan sembilan stesen perhentian di atas landasan Tobu-kyuryo yang juga dikenali sebagai Linimo sejauh 8.9 km. Landasan ini mempunyai jejari kerja sebanyak 75 m dan kecerunan sekitar 6%. Kereta api yang menggunakan motor linear bermagnet ini mempunyai halaju puncak setinggi 100 km/j. Laluan ini memberi kemudahan kepada penduduk tempatan selain kawasan Ekspo 2005. Keretapi ini telah direkacipta oleh Chubu HSST Development Corporation, pertubuhan yang mengurus operasi landasan ujian di Nagoya. Maglev untuk bandar ini telah dipatenkan selepas HSST dibina dan dipersembahkan dalam satu demonstrasi di Korea, sewaktu Rotem (versi komersil Korea) sedang dalam pembinaan di Daejeon. Sistem itu kini sudah mula beroperasi sejak 2007.

Program Demonstrasi FTA

Di Amerika Syarikat, Program Demonstrasi Teknologi Maglev Bandar di bawah Pentadbiran Pengangkutan Persekutuan (FTA) telah membiayai kos rekaan beberapa projek berhalaju rendah. Ia telah menilai HSST untuk Jabatan Pengangkutan Maryland manakala teknologi maglev untuk Jabatan Pengangkutan Colorado. FTA juga telah membiayai projek General Atomics di Universiti California, Pennsylvania untuk mendemonstrasi rekaan baru maglev, MagneMotion M3 dan sistem superpengalir EDS Maglev2000 Florida. Projek di Amerika Syarikat yang lain ialah LEVX di Washington dan Magplane yang berpangkalan di Massaschusetts.

Universiti Jiaotong Barat Daya, China

Pada 31 Disember 2000, maglev superpengalir bersuhu tinggi yang pertama telah berjaya dipandu uji di Chengdu, China. Sistem ini berasaskan prinsip yang membolehkan superpengalir diapungkan dengan stabil di atas atau di bawah magnet kekal. Beban yang ditanggung melebihi 530 kg dan ruang apungan adalah sebanyak 20 mm. Sistem ini menggunakan cecair nitrogen, yang merupakan cecair yang murah untuk menyejukkan superkonduktor tersebut.

Paten Jerman pertama (1941)

Paten pertama untuk keretapi sistem apungan menggunakan enjin linear adalah Paten Jerman 707032, yang telah dikeluarkan pada Jun 1941.